Pages

Saturday, March 27, 2010

Memahami Politik Dalam Islam - Fiqh al Siyasah - oleh Dr. Yusuf al Qaradawi (III)


Memahami Politik Dalam Islam - Fiqh al Siyasah - oleh Dr. Yusuf al Qaradawi (III)

Memahami Politik Dalam Islam - Fiqh al Siyasah
(Diadaptasi dan disusun semula daripada buku Fiqh al-Dawlah
oleh Profesor Dr. Yusuf al Qaradawi]



3. Adakah Islam perlu kepada kebebasan politik? Sejauh manakah kebebasan politik itu perlu dalam menegakkan Islam ?

Kebebasan Politik

Kebebasan politik merupakan perkara yang amat kita perlukan pada masa ini. Islam sentiasa diberi nafas baru, risalah Islam perlu disebar luas, kebangkitan dan gema panggilan kepada Islam perlu sentiasa didengar oleh semua manusia meskipun jika Islam hanya memiliki ruang kebebasan yang amat terhad. Dengan sebab itulah maka perjuangan kita yang pertama ialah bahawa orang Islam hendaklah bekerja keras ke arah mendapatkan kebebasan politik supaya mesej dakwah, risalah tauhid, kesedaran beragama dapat disebarluaskan dan gerakan-gerakan Islam dapat diwujudkan.

Demokrasi yang sebenar bukankan merupakan platform untuk si pemimpin yang zalim dan konco-konco/kroni mereka melepaskan kerakusan nafsu serakah mereka semahunya, dan bukan juga tempat untuk mereka menyumbat penentang, orang yang tidak sealiran, dan yang berbeza pendapat dengan mereka ke dalam penjara, dan bukan tempat mengurung orang yang tidak sebulu dan tidak sehaluan dengan fahaman si pemerintah dan kroni berkenaan.

Demokrasi adalah satu cara termudah dan dikira serasi bagi mencapai matlamat sebuah kehidupan yang terhormat, yang mampu mengajak manusia kepada Allah dan Islam, yang mampu mengajak manusia kepada Iman tanpa jiwa kita terpenjara dan jasad kita terancam dengan tali gantung. Ia merupakan ruang untuk rakyat sesebuah negara yang bebas dan dihormati memilih dan menilai pemerintah, menukar kerajaan tanpa rampasan kuasa dan tanpa pertumpahan darah.

Dari segi teori, cara dan sistem yang kelihatan asing itu boleh diterima pakai jika ia mendatangkan manfaat kepada kita selagi ia tidak bertentangan dengan perintah yang jelas dalam agama dan Syariah. Kita nilai, kita pinda selaras dengan semangat kita. Kita jangan menerima pakai falsafahnya, dan kita jangan membenarkan hal-hal yang diharamkan dan sebaliknya. Kita jangan melepaskan atau bertolak ansur dengan apa yang telah diperintahkan atau yang diwajibkan oleh Islam ke atas kita.


Inti pati demokrasi itu ialah bahawa orang ramai/rakyat boleh memilih pemerintah yang akan mentadbir mereka; rakyat mempunyai hak untuk memilih, mengkritik dan menamatkan pemerintahan mereka; dan rakyat tidak dipaksa untuk menerima sistem, trend, dan dasar yang rakyat tidak persetujui dan rakyat pula tidak diainaya. Mereka (rakyat) bebas mengadakan pilihan raya, pungutan suara, memastikan hak majoriti, melindungi hak minoriti, mempunyai pembangkang, mempunyai pelbagai parti politik, mempunyai kebebasan media/akhbar dan memiliki badan kehakiman yang bebas. Tetapi, sekali lagi, prinsip-prinsip Islam hendaklah diluhurkan dan dijaga, hukum yang telah sabit/sedia mantap ( al-thawabit), hukum yang telah putus ( qat'i), hal-hal pokok dalam agama (daruri) dan hal-hal yang bukan ijtihad--- mestilah tidak dikompromi dan tidak diabaikan.

Syura

Syura atau membuat keputusan secara perundingan mestilah diikuti. Syura tidak terlaksana semata-mata kerana sesuatu hal itu kita debatkan/bahaskan. Mengamalkan syura bererti kita lebih hampir kepada kehendak Islam, dan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan semangat demokrasi. Pengamalan syura adalah ibarat penemuan semula mutiara dan hikmah yang telah hilang.

Syura membolehkan musyawarah dijalankan, pendapat dan pandangan diperoleh. Menjadi tanggungjawab rakyat untuk menasihati dan merundingkan/mengemukakan syor dan saranan dan menegur kerajaan yang memerintah (ad-dinu nasiha) dan ini merupakan suatu pelaksanaan amar ma'ruf nahyu munkar - mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran -- sedangkan antara jihad paling besar dalam melaksanakan kewajipan amar ma'ruf nahy munkar itu ialah mengatakan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim.

Keadaan Politik Ummah

Musibah ummah dulu dan kini ialah kerana tidak ada dan kerana tidak mengamalkan sistem syura sebaliknya menerima pakai sistem pemerintahan dinasti yang menindas. Dalam era moden, diktator mampu kekal mempertahankan kuasanya kerana mereka menggunakan kekuatan bala tentera dan emas - kuasa dan kekayaan - yang mengakibatkan Syariah dihalang daripada dilaksanakan, fahaman sekular dipaksakan dan budaya Barat dipakaikan kepada rakyatnya – semahu dan sekehendak diktator berkenaan. Dakwah Islam dan gerakan Islam pula dijadikan mangsa, diperkotak-katikkan, diugut, diancam, diperlakukan dengan kejam, dihumban ke penjara dan diburu semahu-mahunya dengan kejam.

MENCARI KEDAMAIAN